04 September 2012

Wawa anak emas MMP

WAWA...kini dipilih menjadi duta produk Lip Ice dan Syahirah.

MON RYANTI...tak kisah melakonkan watak pembantu.

BERNAUNG sebagai residen artis di bawah label produksi terkenal, Metrowealth Movies Production Sdn Bhd (MMP) nyata pilihan tepat buat kebanyakan pendatang baru industri seni. Apatah lagi, produksi milik David Teo ini begitu aktif dalam penghasilan filem dan drama untuk tatapan penonton tempatan.
Malah, sejak beberapa tahun ini filem terbitan MMP dilihat mendominasi tayangan di pawagam. Bahkan, boleh dikatakan setiap bulan ada saja filem terbitannya ditayangkan. Tidak terkecuali, pasti ada ‘muka baru’ turut diketengahkan bakat lakonan mereka kepada penonton.
Justeru, kini nama bintang meningkat naik seperti Wawa Zainal dan Mon Ryanti bukanlah asing lagi di kalangan peminat industri hiburan tanah air. Biarpun masih baru dan giat menimba pengalaman dalam lakonan, namun tawaran buat mereka membintangi filem nyata tak putus. Ada saja peluang diberikan David.

Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin kini dilihat umpama ‘anak emas’ buat MMP selepas aktres jelita, Lisa Surihani. Bukan saja berbakat, bahkan wajah jelita Wawa turut membuka ruang kepadanya dipilih menjadi duta produk jenama terkenal. Kini, dua produk dalam genggamannya.

Bersua Wawa pada sesi fotografi dengannya, baru-baru ini, gadis manis berusia 21 tahun itu memaklumkan dia kini menjadi duta produk untuk Lip Ice dan Syahirah. Katanya, tiada apa yang mampu diungkapkan selain bersyukur dengan rezeki diperoleh walaupun pembabitannya dalam industri seni tanah air masih baru.

“Saya mengikat kontrak dengan MMP selama lima tahun. Namun, dalam tempoh dua tahun ini nampaknya saya semakin mendapat peluang untuk menyerlahkan bakat lakonan. Malah, paling tidak saya duga apabila dipilih sebagai duta untuk produk ternama seperti Lip Ice dan Syahirah.

“Kini, saya akui jadual memang agak padat. Selain sibuk dengan penggambaran, saya juga kena turun padang untuk sesi promosi produk. Begitupun, sekarang saya amat gementar menunggu reaksi penonton untuk lakonan dalam filem komedi, Seram Sejuk yang kini berada di pawagam sejak 19 Ogos lalu.

“Saya tak nafikan amat teruja dengan filem ini kerana pertama kali mendapat peluang melakonkan watak utama. Apapun, watak Ros itu memerlukan saya menjadi gadis gedik yang manja. Ia agak sukar, tetapi saya berusaha memberikan lakonan terbaik dan mengikut saja apa yang disuruh pengarah, Azhari Zain.

“Jadi, apa yang merisaukan saya adalah pandangan penonton. Namun, sebagai seorang pelakon yang masih baru, saya sedar banyak yang harus dipelajari untuk menimba pengalaman. Saya harap lakonan akan disukai dan pada masa sama turut bersedia menerima sebarang kritikan penonton,” katanya.

Menyentuh soal persaingan kerana Wawa kelihatan lebih menonjol berbanding pelakon baru di bawah MMP, kata anak jati dari Lahad Datu, Sabah ini, baginya semua orang mempunyai peluang. Katanya, dia juga tidak nampak wujudnya persaingan kerana mereka umpama satu keluarga.

“Kalau ada persaingan pun, ia sesuatu yang sihat. Bagaimanapun, setakat ini saya masih belum puas dengan tahap lakonan dipersembahkan. Ini kerana, bagi saya setiap watak dilakonkan itu adalah proses pembelajaran. Jadi, rasanya masih banyak kekurangan yang perlu saya perbaiki untuk lebih bagus lagi.

“Kini, saya mengharapkan peluang melakonkan watak berat. Ia pasti lebih menguji sejauh mana mutu lakonan saya. Apapun, saya akan bersabar menunggunya,” kata Wawa yang memiliki lesung pipit. Malah, Wawa juga dikenali menerusi drama seperti Klik, Bunga Dari Syurga dan terbaru, Takdir Qismah di TV3.


Mon ‘setia’ pada watak pembantu

JIKA diukur pada pembabitan Mon Ryanti dan Wawa di pentas lakonan, pastinya aktres kelahiran Johor Bahru ini yang lebih dulu ‘makan garam’ menjadi anak seni. Bagaimanapun, tuah gadis berusia 23 tahun itu nampaknya tidak secerah Wawa. Boleh dikatakan, Mon Ryanti lebih ketara melakonkan watak pembantu.

Oleh itu, apakah pemilik nama sebenar Mon Ryanti Muhammad Sahudina Lee ini benar-benar selesa dengan peluang watak diterimanya? Menjawab persoalan ini, anak kedua daripada tiga beradik itu memaklumkan dia sedia menerima apa saja watak diberikan kepadanya dengan hati yang terbuka dan ikhlas.

Katanya, setakat ini, peluang diterima daripada Metrowealth Movies Production adalah adil. Menurut Mon Ryanti, bukanlah dia tidak pernah melakonkan watak utama langsung kerana filem Hantu Dalam Botol Kicap dan Keramat adalah buktinya. Jadi, rasanya tiada salah juga untuk dia terima watak pembantu.

“Sama ada dapat watak utama atau pembantu, saya OK saja. Apa yang penting, setiap watak dilakonkan itu mampu memberi ruang kepada saya memperbaiki kekurangan lakonan. Lagi pun, saya juga masih baru dalam bidang lakonan diceburi dan dalam proses pembelajaran kerana bermula daripada kosong.

“Saya tiada asas dalam lakonan. Namun, atas peluang dan kepercayaan diberikan David, saya sahut cabaran dan mencuba. Kalau diikutkan pun, permulaan pembabitan saya dalam bidang seni ini bermula daripada potongan kaki yang terpilih untuk dijadikan poster filem terbitan MMP,” katanya.

Menurut pemegang ijazah jurusan akaun dan kewangan ini, watak pembantu yang dilakonkan juga bukan sebarangan. Katanya, dia diberikan watak pembantu utama yang dianggapnya penting juga sebagai tulang belakang pada filem dibintangi. Selain itu, apa yang menggembirakannya apabila bergandingan dengan pelakon berpengalaman.

“Berlakon di samping pelakon yang sudah ada nama dan pengalaman ini perasaannya lain. Mereka bukan saja banyak membantu dari segi meningkatkan mutu lakonan, tetapi yang paling utama menyuntik semangat motivasi pada diri saya untuk memberikan aksi lebih baik. Siapa yang mahu lakonan sendiri tenggelam?

“Oleh itu, bagi saya watak pembantu juga mempunyai cabarannya yang tersendiri. Apapun, yang pasti saya tak kisah sampai bila harus melakonkan watak pembantu kerana ia juga rezeki. Malah, saya pun belum mendapat kepuasan daripada lakonan dipersembahkan. Justeru, saya akan terus mencuba sehingga berjaya,” katanya.

Kini tampak jelita dengan penampilan rambut pendek, Mon Ryanti mengakui dia selesa dengan imej baru itu. Katanya, mudah untuk dia mendandan rambutnya berbanding ketika panjang dulu. Apapun, ujarnya, dia memotong rambut menjadi pendek bukan kerana putus kasih tetapi kerana rosak.



0 Terima Kasih Diatas Komen Anda:

Post a Comment

Tapak Iklan Untuk Disewa

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites